http://gayouriot.blogspot.com/ (Kartun)
http://www.facebook.com/group.php?gid=115170288515610&ref=mf
Panitia Pendidikan Seni Visual
S.M.K Muhibbah, Batu 4, Jalan Cecily Utara, 90000 Sandakan,Sabah.
Friday, April 15, 2011
PENDEKATAN SEJARAH DAN KRITIKAN SENI VISUAL Oleh Prof. Madya Dr. Muliyadi Mahamood
PENDEKATAN SEJARAH DAN KRITIKAN SENI VISUAL
Oleh
Prof. Madya Dr. Muliyadi Mahamood
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam.
Pendahuluan
- Seni
Seni adalah suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah. Seni memenuhi keperluan-keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi oleh faktor-faktor keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan yang tertentu. Hal ini telah melahirkan kepelbagaian pengertian seni seperti tradisi, moden dan pascamoden, mengikut zaman dan masyarakat yang tertentu. Penghayatan dan penghargaan terhadap seni lazimnya mengambilkira aspek-aspek formal, makna dan konteks penghasilan sesuatu karya. Seni juga mempunyai pelbagai peranan yang bersifat psikologi dan sosiologi.
Secara umum, seni berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan kerohanian individu mahupun masyarakat. Seni ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah, terutamanya dalam bentuk visual (Hornby, 1974: 43). Seni juga disifatkan sebagai suatu kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan untuk melahirkan idea dalam bentuk yang nyata (Martin, 1986: 12). Hauser berpendapat, seni adalah komunikasi (1959). Herbert Read pula menjelaskan bahawa seni adalah penciptaan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Seni adalah penjelmaan rasa estetika (1959: 16).
- Seni Visual
Seni visual merangkumi aspek pengkaryaan yang dihubungkan dengan disiplin seni halus, dan perekaan, yang meliputi bidang-bidang komunikasi visual, reka bentuk teknologi, dan reka bentuk persekitaran. Ringkasnya, ia merangkumi seni lukis dan seni reka. Karya seni visual ialah suatu ekspresi visual akan sesuatu idea ataupun pengalaman yang dibentuk menerusi penggunaan sesuatu bahan ataupun medium dengan menggunakan teknik-teknik yang tertentu. Pengkarya dan pereka lazimnya memilih bahan yang sesuai dengan idea ataupun perasaan yang ingin disampaikannya. Khalayak menikmati karya seni visual apabila bahan yang digunakan pengkarya dengan cara-cara tertentu membolehkan sesuatu objek atau persembahan itu difahami ataupun digunakan mereka.
Karya seni visual yang terbentuk menerusi kombinasi bahan-bahan berbeza disebut bahan campuran ataupun mixed media. Selain daripada fotografi dan filem yang dirintis pada abad kesembilan belas, menjelang pertengahan abad kedua puluh, teknologi moden telah menghasilkan media seni visual yang baru seperti video dan komputer. Sebagai suatu bentuk komunikasi, seni visual menyampaikan pelbagai maksud yang bertolak daripada pemikiran, perasaan, dan pengamatan (Preble, Preble dan Frank, 1999).
Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni visual, justeru melahirkan beberapa istilah seni yang penting. Sebagai contoh, istilah-istilah seni halus dan seni gunaan telah muncul pada abad ke-18. Seni halus merujuk kepada penghasilan seni yang berasaskan konsep keindahan ataupun estetika, dan merangkumi bentuk-bentuk seni seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi dan muzik (Osborne, 1979: 407), sementara seni gunaan pula merujuk kepada seni berasaskan fungsi seperti produk-produk seni grafik, tekstil, seramik, seni industri, fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan dalaman, seni landskap, multimedia dan animasi.
Di samping seni halus dan seni gunaan, terdapat juga istilah-istilah seni tradisi, seni keagamaan, seni moden dan seni pascamoden. Seni tradisi lazimnya disifatkan sebagai bentuk-bentuk seni yang diwarisi oleh sesebuah bangsa dengan penampilan ciri-ciri tertentu yang boleh mencerminkan identiti masyarakat tersebut. Sebagai contoh, identiti dalam kesenian tradisi Melayu seperti seni ukir, seni tekstil dan anyaman dapat dihayati menerusi keseragaman motif-motif dan maknanya. Seni keagamaan pula mendukung prinsip-prinsip agama tertentu dan ia berbeza di antara satu dengan yang lain lantaran setiap agama memiliki konsep, tatacara, kaedah dan prinsip yang tersendiri.
Kepelbagaian ruang lingkup seni, sama ada dari segi bentuk, makna, teknik, bahan, dan hubungannya dengan konteks penghasilan, termasuklah pengkarya dan persekitaran, serta penghayatan khalayak terhadapnya menjadi perkara-perkara asas kepada bidang Sejarah Seni Visual. Justeru itu, Sejarah Seni Visual adalah suatu bidang ilmu yang mengkaji perkembangan tamadun manusia menerusi penelitian terhadap kerja-kerja seni.
- Konsep dan Kaedah Sejarah Seni Visual
1. Maksud Sejarah Seni Visual
Keluasan pengertian dan skop seni visual memungkinkan bidang Sejarah Seni Visual juga muncul sebagai suatu disiplin ilmu mempunyai skop, peranan, dan cabang-cabang yang luas. Sejarah Seni Visual tidak hanya terbatas kepada persoalan atau pengkajian tentang bentuk-bentuk seni, malahan melibatkan apa-apa jua yang berkaitan dengan kerja seni itu sendiri, termasuklah tentang pengkarya: pelukis dan pereka, bentuk, stail atau gaya, proses, teknik, bahan, makna, pemilik, penaung, persepsi, tanggapan, peranan, dan kemungkinan-kemungkinan yang terhasil akibat daripada kewujudan karya seni itu.
Budaya visual yang pelbagai bentuk dan rupa terhasil berlandaskan pelbagai pengalaman yang merentasi ruang dan jarak waktu yang tertentu. Dalam konteks ini, Sejarah Seni Visual pada dasarnya menerokai akan apakah faktor-faktor pencetus terhasilnya karya, akibat atau kesan, peranan, fungsi, nilai, makna, serta persepsi masyarakat terhadap sesuatu karya. Oleh kerana penghasilan karya seni itu turut berhubung dengan bidang-bidang ilmu dan kebudayaan yang luas, justeru itu bidang Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu bidang kajian yang berkait dengan bidang-bidang ilmu dan profesion lain. Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu disiplin kemanusiaan yang menerangkan peranan seni dalam kehidupan manusia (Zakaria Ali, 1989; Muliyadi Mahamood, 1993; Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).
1. Tujuan Sejarah Seni Visual
Penghayatan terhadap sejarah memungkinkan khalayak mengetahui peristiwa masa lalu sebagai asas untuk memahami situasi masa kini. Jika sejarawan memahami masa lalu dengan mengkaji fakta-fakta peristiwa, sejarawan seni visual pula berusaha untuk memahami masa lalu menerusi karya-karya seni. Dalam konteks ini, karya seni visual menjadi dokumen-dokumen sejarah yang merakamkan akan masa atau era yang menghasilkannya, sementara apresiasi atau penghayatan seni yang menjadi dasar bidang Sejarah Seni Visual bertindak sebagai asas untuk memahaminya. Selain daripada memperjelaskan akan bentuk, makna, dan fungsi sesuatu karya, Sejarah Seni Visual juga melihat akan perubahan-perubahan persepsi, fungsi, mahupun makna yang berlaku ke atas sesuatu karya itu, contohnya dengan mengkaji faktor-faktor yang mewujudkan sesuatu perubahan (Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).
1. Kaedah Sejarah Seni Visual
Dalam bidang Sejarah Seni Visual, karya seni merupakan dokumen sejarah atau sumber primer yang penting, sementara apresiasi atau penghayatan seni menjadi asasnya. Kaedah mendekati atau menganalisis karya seni boleh dilakukan dengan mengajukan beberapa soalan asas tentang karya yang sedang dikaji ataupun dihayati.
Misalnya, ia boleh dimulai dengan bertanya apakah objek itu?; untuk siapa ia dibuat?; ia dibuat daripada apa?; bagaimana keadaannya sekarang?; adakah ia satu-satunya objek sedemikian?; apakah maksudnya?; apakah yang cuba disampaikan?; bagaimanakah ia dipersembahkan?; dan siapakah yang menghayatinya?. Atau, ia boleh dimulakan dengan soalan siapakah pembuatnya?; di mana ia sekarang?; bagaimana ia berada di tempatnya kini?; bila ia sampai di tempatnya kini?; siapa yang mendapatkannya?; mengapa?; berapakah harganya?; siapa pemilik asalnya?; siapa yang menghayatinya? (Pointon, 1994: 61). Persoalan-persoalan asas ini menjadi dasar dalam mengenali serta memahami sesebuah karya seni itu dengan lebih dekat dan bermakna. Ini yang ditegaskan oleh Hauser dalam tulisannya, bahawa dalam usaha memahami karya seni, kita tidak terus menerangkannya, tetapi cuba menyesuaikan diri kita dengannya.
Berbicara tentang karya seni, Hauser menulis:
"We do not go straight towards them, but circle around them. Each generation sees them from a different point of view and with a fresh eye; nor is it to be assumed that a later point of view is more apt than an earlier one. Each aspect comes into sight in its own time, which cannot be anticipated or prolonged; and yet its significance is not lost, for the meaning that a work assumes for a later generation is the result of the whole range of previous interpretations." (Hauser, 1959 in Fernie, 2001: 205).
Secara umumnya, pengkajian terhadap karya seni perlu mengambilkira aspek-aspek bentuk (aspek-aspek formal, termasuklah pengolahan karya dan gaya penampilan) dan makna (ikonografi: tersurat dan tersirat). Penelitian terhadap bentuk dan makna ini pula dihubungkan dengan konteks penghasilan sesuatu karya, misalnya aspek-aspek period atau masa: sejarah dan kebudayaan.
(b) Konsep dan Kaedah Kritikan Seni Visual
(i) Pengertian Kritikan Seni Visual
Kritikan seni bermaksud wacana tentang sesuatu karya seni sama ada dalam bentuk lisan ataupun tulisan (Feldman, 1994). Kritikan seni dilakukan daripada pelbagai sudut berasaskan satu sistem atau strategi yang teratur, merangkumi aspek diskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan. Kritikan seni penting dalam perkembangan seni visual kerana ia mempengaruhi profesion karyawan, persepsi dan daya apresiasi khalayak, cita rasa dan strategi pengumpul seni, pemilik galeri serta promoter seni. Justeru itu, kritikan seni yang baik boleh dianggap sebagai suatu alat terbaik menentukan arah perkembangan seni pengkarya dan seni visual secara umumnya.
(ii) Tujuan Kritikan Seni Visual
Kritikan seni memainkan peranan penting dalam perkembangan seni visual baik bagi pengkarya mahupun khalayak secara umumnya. Bagi pengkarya, kritikan boleh membantu mereka mempertingkatkan profesion menerusi penambahbaikan dalam proses pengkaryaan dengan mengambil kira reaksi serta maklum balas dari pengkritik mahupun khalayak. Bagi penghayat pula, kritikan seni boleh mempertingkatkan tahap apresiasi serta persepsi mereka terhadap seni visual secara umumnya.
Kritikan seni merangkumi pelbagai persoalan asas dan ruang litup seni visual, seperti bentuk, makna dan konteksnya. Dalam kritikan seni, pengkritik perlu mengambil kira aspek hal benda, komposisi, dan kandungan karya menerusi strategi terancang yang melibatkan aspek diskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan. Sesebuah karya kritikan seni boleh terhasil dalam bentuk jurnalistik mahupun ilmiah, diterbitkan serta disebarkan untuk pengetahuan pengkarya dan khalayak.
Dalam kritikan, pengkritik seni menyentuh persoalan-persoalan yang meliputi aspek perasaan, idea, serta pelbagai perkara lain yang diungkapkan pengkarya melalui karyanya, sama ada dalam bentuk catan, lukisan, arca, periklanan, kartun, komik, reka bentuk laman web, poster dan seumpamanya. Pengkritik berperanan sebagai penghubung antara pengkarya dan khalayak menerusi hasil kritikannya yang mengupas kepelbagaian nilai serta makna. Dengan kata lain, pengkritik juga berupaya mengupas serta memperjelaskan nilai-nilai yang tersurat dan tersirat dalam sesebuah karya seni untuk makluman khalayak dan pengkarya itu sendiri. Menurut Feldman (1994), pengkritik mempunyai dua peranan besar, iaitu mengulas organisasi estetik dan pengolahan teknik karya, di samping menyentuh persoalan-persoalan minat serta nilai yang disimbolkan dalam sesebuah karya seni.
Oleh kerana kritikan seni mengulas, menganalisis, menginterpretasi, dan menilai karya seni visual yang juga merupakan objek budaya, maka ia pada dasarnya berhubungan dengan hal ehwal kebudayaan. Dalam konteks ini, kritikan seni sebenarnya turut berperanan dalam menentukan arah perkembangan sesebuah kebudayaan. Karya seni adalah cerminan masyarakat dan budaya yang terungkap melalui pengucapan tatabahasa visual pengkarya. Pengkritik mengupas persoalan-persoalan tersebut, justeru memaklumkan kepada khalayak tentang kedudukan pengkarya dan kebudayaan secara umumnya. Pertimbangan serta penilaian pengkritik boleh dijadikan landasan serta panduan penambahbaikan mahupun penentuan arah seni dan budaya. Dalam konteks ini, tujuan-tujuan kritikan seni adalah untuk membimbing, memberi kefahaman dan penjelasan kepada khalayak mengenai sesuatu karya yang dikupas. Menerusi pertimbangan serta penilaian yang dilakukan, pengkritik berupaya memperjelaskan ataupun menyelesaikan isu-isu berkenaan estetik dan kebudayaan. Justeru itu, kritikan seni pada dasarnya tidak terpisah daripada konteks kebudayaan pengkarya, masyarakat mahupun tamadun.
Kritikan seni boleh mempengaruhi profesion pengkarya kerana ia merupakan suatu bentuk reaksi, maklum balas, pengesahan malahan pengiktirafan terhadap sesuatu produk seni yang dihasilkan. Menerusi maklum balas itu, pengkarya boleh menambahbaik mutu atau gaya karya mereka secara berterusan. Proses penambahbaikan ini boleh menyentuh persoalan idea, konsep, teknik, tema, hal benda, atau gaya persembahan secara umumnya. Hal ini demikian kerana kritikan seni lazimnya menyentuh kepelbagaian aspek itu, berdasarkan kemampuan serta pendekatan yang diambil oleh pengkritik.
Bagi pemilik galeri dan promoter seni, kritikan boleh membantu mereka mempromosi serta menjual karya seseorang pelukis. Ia boleh mewujudkan suatu bentuk komunikasi antara pemilik galeri atau promoter seni dengan pembeli atau khalayak. Kritikan membolehkan pemilik galeri dan promoter seni mengenalpasti bakat-bakat baru di samping terus mempromosikan pelukis-pelukis sedia ada. Meskipun dalam etika kritikan, seseorang pengkritik tidak seharusnya secara langsung bekerjasama dengan pemilik galeri ataupun promoter seni bagi menaikkan seseorang pengkarya ataupun sesuatu produk, tulisannya yang neutral itu boleh mempengaruhi khalayak secara umumnya.
Bagi pengumpul karya seni, kritikan boleh mempertingkatkan nilai sesuatu karya yang mereka miliki. Sesebuah karya seni akan menjadi lebih terkenal jika ia diperkatakan serta dibicarakan secara meluas, justeru itu memungkinkan ia dikenali lebih ramai dan menjadi popular. Kepopularan karya boleh mempertingkatkan nilai komersilnya. Di samping itu, kritikan juga berupaya mengesahkan atau membenarkan persepsi atau tanggapan pengumpul seni terhadap sesuatu karya yang mereka miliki atau berhajat untuk dibeli. Bagi muzium, galeri seni awam dan swasta, serta yayasan kesenian yang mengumpul seni, kritikan seni berupaya memperkayakan dokumentasi serta bahan rujukan koleksi, di samping memberi mereka panduan bagi membeli karya-karya yang baru, baik dan berpotensi.
Penulisan sejarah serta kritikan seni merupakan dokumen-dokumen penting bagi pengkaji dan khalayak untuk mengenali sesebuah karya itu dengan lebih berkesan dan bermakna. Hal ini memungkinkan mereka mempertingkatkan kefahaman, persepsi dan daya apresiasi tentang seni secara umumnya. Menerusi kritikan seni, khalayak boleh memahami dengan lebih lanjut akan sesebuah karya itu, misalnya dari sudut tema, teknik, gaya dan makna. Khalayak memahami aspek bentuk dan makna karya secara tersurat dan tersirat, bukan melihat secara luaran sahaja kerana kritikan seni menampilkan diskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan yang membolehkan mereka meletakkan seni pada konteks ruang dan masanya.
Bagi sejarawan dan pengkaji seni, kritikan seni boleh membantu usaha mereka meletakkan kedudukan seseorang pengkarya mahupun produk seni itu dalam peta perkembangan seni yang lebih luas. Hal ini menunjukkan bahawa, selain daripada menjadi wadah pendidikan, kritikan seni juga boleh menjadi dokumen-dokumen sejarah yang penting lagi berharga.
(iii) Kaedah Kritikan Seni Visual
- Pendekatan Kritikan Seni
Secara umumnya, kritikan seni terbahagi kepada dua pendekatan asas, iaitu ilmiah, dan jurnalistik. Pendekatan ilmiah adalah bentuk penulisan yang terperinci lagi sistematik dan lazimnya terbit dalam jurnal, majalah dan buku. Pendekatan ilmiah selalunya disokong oleh fakta serta sumber-sumber rujukan dan kajian lain yang menyokong serta memperkukuhkan sesuatu hujahan. Penulisan seperti ini lazimnya dilakukan oleh sarjana seni, misalnya profesor, kurator muzium, penyelidik, dan penulis. Pendekatan jurnalistik pula berbentuk laporan, penerangan dan penulisan diskriptif yang terbit dalam surat khabar dan majalah, atau disiarkan melalui radio dan televisyen untuk tatapan umum
- Strategi Kritikan Seni
Kritikan seni amat berkait rapat dengan apresiasi seni yang terbentuk menerusi kefahaman terhadap aspek-aspek asas karya seperti hal benda, komposisi dan kandungan. Kebolehan menangani serta menghuraikan ketiga-tiga aspek ini akan memberi laluan kepada penghasilan kritikan yang lebih bermakna lagi berkesan. Dalam strategi pertama iaitu diskripsi, seseorang pengkritik perlu mengenalpasti ciri-ciri fizikal karya, seperti pengolahan formal dan mengenal pasti imejan. Dia perlu mengumpul data-data asas atau data-data visual karya dan fakta-fakta pengkarya seperti biodata, tajuk, medium, dan tarikh: jelasnya, menyediakan suatu inventori akan perkara-perkara utama itu.
Pada tahap analisis karya, pengkritik perlu menganalisis fakta-fakta visual, contohnya dari sudut pengolahan komposisi, garis, cahaya, bentuk, warna, permukaan, dan jalinan. Ini dihubungkan dengan persoalan proses dan teknik serta mencari pertaliannya dengan persoalan idea dan perasaan misalnya. Menerusi strategi ini, pengkritik seharusnya berupaya mengenal pasti kepelbagaian hal benda dalam karya yang antara lain merangkumi figura, alam semula jadi, alam persekitaran dan objek buatan manusia. Keupayaan mengenal pasti ini seharusnya diiringi dengan kebolehan membaca bentuk penampilan imejan yang mungkin berkaitan dengan pelbagai aliran dan gaya seni, baik yang bersifat tradisi, moden, pascamoden mahupun kontemporari. Pengetahuan ini memungkinkan pengkritik membuat perbandingan serta perhubungan di antara satu karya dengan karya-karya yang lain, ataupun satu gaya dengan gaya-gaya yang lain. Hal ini amat penting bagi membentuk pandangan dan pertimbangan kendiri oleh pengkritik.
Komposisi merangkumi aspek-aspek asas seni reka, media dan teknik. Pengkritik sewajarnya berupaya menganalisis pengolahan komposisi karya dengan memberi tumpuan kepada prinsip dan unsur seni serta memahami kepelbagaian bentuk tatabahasa visual seperti abstrak, realistik, naturalistik, dan separuh abstrak yang digunakan pengkarya bagi mengungkapkan bentuk dan makna karyanya. Pengetahuan pengkritik mengenai penggunaan media dan teknik akan mempertajamkan kritikannya kerana dia berupaya menyelami kaedah-kaedah pembentukan sesebuah karya dengan lebih mendalam.
Berdasarkan analisis hal benda dan komposisi, seseorang pengkritik berupaya melakukan interpretasi iaitu
mengenal pasti kandungan sesebuah karya yang mengungkapkan sesuatu tema, makna, dan fungsi. Dalam hal ini, pengkritik berusaha meletakkan bentuk dan makna karya pada konteksnya. Rangkuman ketiga-tiga proses mengenal pasti dan menghuraikan aspek-aspek asas ini memungkinkan pengkritik membuat pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya.
mengenal pasti kandungan sesebuah karya yang mengungkapkan sesuatu tema, makna, dan fungsi. Dalam hal ini, pengkritik berusaha meletakkan bentuk dan makna karya pada konteksnya. Rangkuman ketiga-tiga proses mengenal pasti dan menghuraikan aspek-aspek asas ini memungkinkan pengkritik membuat pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya.
Kritikan seni memerlukan daya kefahaman individu yang baik terhadap pelbagai aspek karya seni visual yang dibicarakan. Justeru itu, untuk menjadi seorang pengkritik yang baik, seseorang individu itu sewajarnya mempunyai pendidikan formal dalam bidang seni serta berpengetahuan luas. Dia seharusnya berupaya berkomunikasi dengan baik dan jelas, sama ada secara lisan ataupun tulisan. Dia juga sewajarnya bersifat terbuka, bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan khalayak, serta mempunyai kejelasan pemikiran dan ekspresi. Aspek-aspek ini amat perlu bagi seseorang pengkritik dalam menghasilkan pertimbangan dan penilaian yang berbentuk "formalisme, ekspresivisme, mahupun instrumentalisme" (Feldman, 1994). Pertimbangan dari sudut formalisme adalah pertimbangan berasaskan aspek-aspek keindahan dan harmoni; ekspresivisme ialah pertimbangan berdasarkan keupayaan menyampaikan perasaan dan idea; sementara instrumentalisme bermaksud pertimbangan berdasarkan keberkesanan karya sebagai suatu wadah atau alat, contohnya dalam konteks sesuatu institusi, masyarakat dan negara.
Rujukan
Bender, J.W. and Blocker, H.G., 1993. Contemporary Philosophy of Art. New Jersey: Prentice-Hall.
Gaitskell, C.D. dan Al Hurwitz, 1970. Children and Their Art. New York: Harcourt Brace and World Inc.
Hauser, A., 1959. The Philosophy of Art History. New York: Alfred A. Knopf.
Hauser, A., 1959. The Philosophy of Art History
dalam Eric Fernie, 2001. Art History and Its Methods. New York: Phaidon Press Limited.
dalam Eric Fernie, 2001. Art History and Its Methods. New York: Phaidon Press Limited.
Hornby, A.S., 1974. Oxford Advanced Learner's Dictionary of Current English. Oxford University Press.
http://www.newcastle.edu.au/discipline/fine-art/theory/analysis/panofsky.htm
Lester, P. M., 2000. Visual Communication: Images with Messages. Wadsworth Thomson Learning.
Martin, J., 1986. Longman Dictionary of Art. Longman.
Mbiyo Saleh, 1987. Estetika. Jakarta: Yayasan Umbi.
Muliyadi Mahamood, 1993. Mendekati Seni Lukis dan Seni Reka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muliyadi Mahamood, 2000. Sejarah Seni: Zaman Pertengahan hingga Abad ke 20. Kuala Lumpur: Univision Press.
Muliyadi Mahamood, 2001. Seni Lukis Moden Malaysia: Era Perintis hingga Era Pluralis. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.
Muliyadi Mahamood, 2004. The History of Malay Editorial Cartoons (1930s-1993). Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.
Ocvirk, O. G., Stinson, R. E., Wigg, P. R., Bone, R. O., and Cayton, D. L., 1998. Art Fundamentals: Theory and Practice. McGraw-Hill.
Osborne, H., 1979. The Oxford Companion to Art. Oxford University Press.
Pointon, M., 1994. History of Art. London and New York: Routledge.
Preble, D., Preble, S. and Frank, P., 1999. Art Forms. New York: Longman.
Read, H., 1959. The Meaning of Art. Penguin Books.
Rupa dan Jiwa. Katalog Pameran Rupa dan Jiwa: Kesinambungan Tradisi Dalam Seni Rupa Malaysia Sezaman. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara, 15 Jun-2 Julai, 1993.
S.H. Nasr, 1989. Falsafah Kesusasteraan dan Seni Halus. Terjemahan Baharudin Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sidi Gazalba, 1977. Pandangan Islam tentang Kesenian. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
Syed Ahmad Jamal, 1992. Rupa dan Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka.
Smagula, H., 1991. Re-Visions: New Perspectives of Art Criticism. New Jersey: Prentice Hall.
Stern, A., 1973. "The Child's Language of Art" dalam In Child Art: The Beginnings of Self-Affirmation. Edited by Milda Present Lewis. Berkeley: Diable Press Inc.
Tansey, R. G. dan Kleiner, F. S., 1996. Gardner's Art Through the Ages. New York: Harcourt Brace College Publishers.
Zakaria Ali, 1989. Seni dan Seniman: Esei-esei Seni Halus. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Thursday, April 14, 2011
Bab 4 Membuat Penerokaan dan Eksperimen Bahan
Membuat Penerokaan dan Eksperimen Bahan
Bertujuan untuk memastikan bahan yang akan dibuat bersesuaian dengan :
a). Jenis binaan dan ketahanannya.
b). Tema atau hal subjek yang digunakan.
Sumber rujukan Idea
(a) Alam Semula Jadi dan Objek Persekitaran
–Flora dan fauna menjadi sumber utama dalam menghasilkan karya.
Dikaji dari segi dinamik fom, kualiti objek, ciri-ciri organik, keunikan, integrasi alam dan kehidupan di samping mengambil kira garisan, ruang, warna, jalinan, rupa dan bentuk.
(b) Perasaan Dalaman, Khayalan dan Imaginasi Si Pelukis
– Perasaan takut, misteri, sedih dan sebagainya menjadi sumber inspirasi karya si pelajar atau pelukis.
– Sigmund Frued dan Paul Jean Satre, teori-teori imaginasi berupaya mencipta sesuatu objek atau karya melangkaui batas fizikal dan cabaran status-quo pelukis.
(c) Aliran dan Tema Sejagat
– Jelmaan perasaan dalam berkarya mengguna alam sekitar menjadi suatu keunikan ciptaan dan mengujudkan satu kekaguman
– Dari idea yang berbagai, keunikan ciptaan berlaku dan akhirnya mewujudkan kepelbagaian rupa bentuk dan jenis produk.
(d) Keperluan dan Pengalaman Hidup Harian
– Idea datang dari akibat dari desakan untuk mengguna di samping mengatasi sebarang kesulitan mengharungi kehidupan. Lalu diciptanya bentuk-bentuk konkrit yang dapat memanfaatkan manusia si pencipta itu sendiri
– Semakin aktif dan proaktif seseorang manusia itu mencipta objek tiga dimensi, semakin tinggi kualiti ciptaan dan lebih tinggi nilai estetikanya.
- Bentuk-Bentuk Asas Geometri ( Catatan untuk Soalan 1 )
- Jenis-jenis Arca ( Catatan untuk Soalan 2 )
4. Jenis dan Teknik Arca Relief
Definition Bas-relief
Bas-relief sculpture is stone sculpture made by chipping away at a slab of rock to make a picture that stands out. It is also called low relief sculpture (bas being the French for 'low') and is contrasted with high relief sculpture where the image stands out further from the surface. The Egyptians, Persians, Greeks and many others have used bas-relief.
Cari Definisi Arca Relief di http://en.wikipedia.org/wiki/Relief#High_relief
KAJIAN MEDIA & TEKNIK
1. Media ( bebas ).
2. Teknik –
a. karya relif:
i. Kolaj
ii. ‘paper mache’
iii. Arca timbulan (dihasilkan timbul suatu permukaan 2-D)
b. karya 3D
i. arca
Eksperimentasi pelbagai media dan alatan untuk membuat kajian penerokaan karya.
KAJIAN TOPENG SEBAGAI PILIHAN
Proses dan Teknik Membuat Topeng
Menggunakan Bahan ‘Paper Mache’
– Langkah 1
Koyakkan himpunkan kertas surat khabar lama bergantung kepada saiz dan bilangan topeng yang akan disediakan.
– Langkah 2
Rendam kertas di dalam bekas yang berisi air sehingga lembut agar mudah untuk dikisar.
– Langkah 3
Kertas yang telah lembut perlu dikisar menggunakan alat pengisar dan pastikan kertas tersebut dalam keadaan lumat agar mudah dibentuk dan kukuh.
– Langkah 4
Kertas yang telah dikisar perlu diperah untuk mengasingkan kandungan airnya.
– Langkah 5
Letakkan kertas yang telah diperah di dalam bekas. Gaulkan kertas tersebut dengan gam cair / kanji sehingga sekata agar mudah untuk dibentuk.
– Langkah 6
Tiup belon mengikut saiz yang dikehendaki dan ikat agar ianya dalam keadaan bulat. Tampalkan kertas yang telah bercampur gam tersebut pada bahagian luar belon, tampal hanya separuh bahagian sahaja, pastikan ketebalannya. Simpan belon tersebut ditempat yang sesuai agar tidak kempis untuk beberapa hari.
Tanggalkan tampalan kertas tersebut apabila ianya berkeadaan separuh kering. Jemur ditempat yang mendapat cahaya matahari.
– Langkah 7
Jemur tampalan kertas yang telah ditanggalkan pada cahaya matahari agar ianya menjadi kering dan keras.
– Langkah 8
Warna dan hiaskan topeng tersebut mengikut watak-watak ( Ibu & Anak ) atau jenis-jenis topeng yang dikehendaki.
Contoh Kajian Tema Topeng Sebagai Subjek Matter
Topeng
– Suatu alat yang menutupi muka, topeng juga digunakan di dalam persembahan drama, tarian dan juga istiadat-istiadat pemujaan.
– Dijadikan sebagai alat perhiasan di rumah.
– Dijadikan sebagai identiti seseorang dan juga ahli kumpulan.
DEFINISI
– Berasal dari kata ‘tup’ yang bererti tutup, kemudian kerana gejala bahasa yang disebut formatif form (pembentukan kata) kata „tup ditambah dengan kata ‘eng’ yang kemudian menjadi „tupeng
Tupeng kemudian mengalami beberapa perubahan sehingga menjadi topeng.
–Di Bali istilah topeng diertikan sebagai ‘Partapukan’ yang membawa erti suatu lapisan yang menutupi. Misalnya seorang yang menderita kerana luka, apabila lukanya telah sembuh maka terdapat satu lapisan yang menutupi luka tersebut yang kemudian akan terlepas dengan sendirinya.
Fungsi Topeng
–- Sebagai Simbol / lambang nenek moyang
–- Digunakan semasa upacara memperingati keturunan ‘Ratu Gede Pancering Jaga’ atau ‘Hyang Datonda’ penguasa dunia yang dipercayai oleh masyarakat Truyan di Danau Batur.
- Simbol dewa-dewi
Ditarikan oleh gadis-gadis yang belum cukup umur. Tarian ini dinamakan Tarian Topeng Widyadari dan selalu ditarikan oleh masyarakat di Desa Ketewel, Kecamatan, Sukawati dan Gianyar. pelengkap upacara
Tarian topeng ini termasuk dalam tarian Bebali yang berfungsi sebagai pengiring dalam upacara yang dikenali sebagai Panca Yadya.
Tarian topeng ini dipentaskan pada waktu upacara ddan dilaksanakan dengan tujuan supaya upacara berlangsung dengan selamat dan mendapat berkat.
-Sebagai penyingkap sejarah
bersifat hiburan dan dalam tarian ini banyak menceritakan kisah sejarah dahulu, memberi pengajaran dan peringatan tentang asal-usul keturunan, daerah, bahasa dan sebagainya serta boleh ditontoni oleh sesiapa sahaja.
– -Sebagai Media Pendidikan
Pementasan topeng dapat berfungsi sebagai media pendidikan di mana pelajar dapat mempelajari teknik membuat dan memainkannya, begitu juga dapat mengenal tokoh-tokoh, agama, seni dan budaya masyarakat setempat.
– -Sebagai hiburan
Berfungsi sebagai hiburan terutama memalui dialog-dialognya yang bersifat humor akan mengundang gelak ketawa penonton.
Subscribe to:
Posts (Atom)